1977-1984 : Sejarah Awal Kumpulan_Headwind

Kumpulan Headwind telah ditubuhkan pada tahun 1977 oleh seorang pemain bass yang dikenali sebagai Din dan disertai oleh 4 anggota lain iaitu Zainal (trombon), Zulkif (gitar utama), Razak (dram), Man Senoi (keyboard) dan Ron (vokal). Nama Headwind sebenarnya diambil daripada dua perkataan Inggeris iaitu Head yang bermaksud kepala dan Wind yang bermaksud angin, menjadikan kumpulan ini turut dikenali sebagai kumpulan Kepala Angin. Pada awalnya, mereka bekerja di Club Med dan sekali-sekala bermain muzik di kelab-kelab malam di seluruh tanah air selama beberapa tahun.

Setelah beberapa ketika, Din telah meninggalkan kumpulan ini akibat perselisihan faham dengan anggota lain dan tempatnya kemudian digantikan oleh seorang pemain bass berbangsa Cina bernama Iginatiu Gerard Ooi atau lebih dikenali sebagai Nicky Ooi. Pada masa yang sama penyanyinya, Ron telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Jerman dan pihak pengurusan Club Med meminta Zainal, Zulkif dan bekas anggota kumpulan Carefree, Raja Rashid atau Wan untuk menjadi penyanyi dalam kumpulan Headwind semata-mata untuk mereka meneruskan kontrak persembahan bersama kelab tersebut. Sebagai sebuah kumpulan muzik yang berbakat besar dan mempunyai karisma yang tersendiri, bakat mereka telah dikesan oleh pihak pengurusan Polygram Records, seterusnya ditawarkan kontrak untuk menghasilkan album di bawah syarikat yang berpangkalan di negara seberang tambak itu.[1]

Pada tahun 1983, Headwind yang dianggotai oleh Zainal, Zulkif, Razak, Man Senoi, Nicky Ooi dan Wan telah muncul dengan album pertama berjudul Headwind yang banyak berunsurkan genre pop. Banyak lagu yang menarik antaranya Usah Diteruskan, Sekadar Pengertian, Cinta Ke Akhir Masa dan Keindahan Pelangi. Namun kerana kurangnya promosi, album Headwind mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan. Lebih malang lagi, sebilangan besar peminat Headwind tidak tahu akan kewujudan album ini. Namun mereka tidak mudah patah semangat malah mereka terus bergiat aktif dalam bidang muzik dengan kembali semula ke kelab mereka bekerja.